Masjid An-Nabawi

Masjid An-Nabawi
Rawdah

Monday, June 15, 2009

Roh Orang Beriman

Dalam beberapa karangan para ulama kita, ada tercatat kisah berhubung tentang pergi dan datangnya arwah kaum mu'minin ke langit dunia untuk menziarahi kaum keluarga mereka yang masih hidup di alam dunia. Ada sesetengah pihak dengan mudah sahaja mengenepikan kemungkinan perkara tersebut berlaku. Sedangkan hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahui sebab persoalan ini merupakan urusanNya. Tidak tergambar pula yang para ulama kita seperti Sidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi rahimahUllah dan Syaikh Sulaiman al-Bujairimi rahimahUllah, ahli-ahli fiqh yang terkemuka, hendak memenuhkan karya-karya mereka dengan pendustaan dan kebohongan. Contohnya Sidi Abu Bakar Syatho ad-Dimyathi menulis berkenaan perkara ini dalam karya agungnya " I`aanatuth Thoolibiin" jilid 2 halaman 161, antara lain beliau menulis:-

Juga telah warid: “ Bahawasanya roh-roh orang mukmin datang pada setiap malam ke langit dunia dan mereka berhenti di hadapan rumah-rumah mereka. Setiap seorang daripada mereka menyeru dengan suara sedih 1000 kali: “Wahai ahli keluargaku, wahai kaum kerabatku, wahai anakku, wahai orang yang mendiami rumah-rumah kami, berpakaian dengan pakaian kami, berbahagi harta kami, tidak adakah sesiapa antara kamu yang mengingati kami dan memikirkan keadaan kami yang berada dalam kejauhan, kami berada dalam tahanan yang panjang dan kawalan yang ketat? Kasihanilah kami, moga-moga Allah akan mengasihi kamu, dan janganlah kamu bakhil kepada kami sebelum kamu menjadi seperti kami. Wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya kelebihan yang ada pada tangan kamu sekarang, dahulunya ada pada tangan kami. Malangnya kami tidak menafkahkan sebahagian daripadanya untuk jalan Allah, maka perkiraan hisab serta penyesalan atas kami sedangkan manfaatnya bagi orang lain. Maka apabila tidak memperolehi sesuatu (yakni hadiah, sedekah, doa, istighfar dan sebagainya daripada orang hidup kepada mereka), pergilah roh-roh tersebut dengan kekecewaan dan hampa.” Dan telah warid juga bahawasanya Junjungan Nabi s.a.w. bersabda: “Tidaklah orang mati itu di dalam kuburnya melainkan seperti orang yang kelemasan memohon pertolongan. Dia menunggu datangnya doa-doa kepadanya daripada anaknya atau saudaranya atau temannya. Apabila diterimanya (doa-doa tersebut), maka ianya adalah sesuatu yang terlebih kasih baginya daripada dunia dan segala isinya (yakni menerima hadiah berupa doa adalah lebih disukai si mati daripada memperolehi dunia dan segala isinya).
Datang dan perginya sebahagian roh-roh orang mukmin yang tertentu ke barang mana tempat dengan kehendak dan izin Allah adalah suatu perkara yang tidak dapat dinafikan lagi. Bulan Rejab yang bakal menjelang tiba, di mana kisah Isra` dan Mi'raj biasanya akan diperingati. Dalam kisah tersebut jelas dan nyata bahawa segala arwah anbiya` yang telah wafat sekian lama sebelum lahirnya Junjungan Nabi SAW telah berhimpun pada malam 27 Rejab tersebut di Masjidil Aqsha untuk sholat berimamkan Junjungan Nabi s.a.w. Bukankah Masjidil Aqsha itu wujudnya di alam nyata di dunia yang fana ini dan bukankah arwahnya para anbiya` tersebut berada di barzakh. Mungkin ada yang berkata bahawa ianya dikhususkan untuk arwahnya para nabi, itu satu kemungkinan, tetapi mungkin juga tidak. Mungkin juga ianya berlaku kepada arwah para nabi dan para pewaris mereka yang terdiri daripada kalangan khawasnya umat. Oleh itu, pendapat yang menyatakan bahawa setiap roh yang berada di barzakh tidak boleh kembali ke alam dunia adalah pendapat yang tidak tepat. Ya, tiada roh yang sudah berpindah ke alam barzakh boleh kembali ke dunia untuk menjalani kehidupan duniawi seperti sebelum kematiannya iaitu hidup kembali dengan roh dan jasad, tetapi apa pula yang menegahkan roh kalangan khawas daripada para anbiya` dan awliya` serta sholihin untuk kembali ke alam dunia dengan kehidupan barzakhiyyah, iaitu dengan roh semata-mata. Bukankah wujud nas-nas yang menyatakan keharusan (baca: boleh) bagi roh-roh tertentu untuk berpergian ke mana-mana sahaja. Bahkan banyaknya hadits dan atsar yang berbagai-bagai menceritakan tempat dan keberadaan roh-roh, sudah cukup membuktikan kepelbagaian tempat dan keadaan roh-roh tersebut. Walau bagaimanapun, roh itu termasuk urusan Tuhan, maka, setiap pihak baik yang pro dan kontra, sewajarnya mengembalikan urusan tersebut kepadaNya, tanpa bersikap fanatik dengan pendapat sendiri semata-mata. Dan perlu juga kita ketahui bahawa datang dan perginya arwah para anbiya` dan awliya` tersebut termasuk perkara yang mumkin bagi Allah SWT. Akhirul kalam, Imam asy-Sayuthi rahimahUllah dalam "Syarhush Shudur bi syarhi haalil mawtaa wal qubuur" pada halaman 312 menulis:-

Diriwayatkan oleh al-Hakim at-Tirmidzi daripada Sayyidina Salman r.a. yang berkata: "Bahawasanya arwah kaum mu'minin di barzakh pada dunia ini bebas berpergian ke mana-mana yang dikehendaki antara langit dan bumi, sehinggalah Allah mengembalikannya kepada jasad-jasad mereka (yakni pada hari kebangkitan nanti)."

Dan diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya daripada Sayyidina Malik bin Anas r.a. yang berkata:- "Telah sampai kepadaku bahawasanya roh-roh orang mu'min itu bebas berpergian ke mana-mana sahaja yang dikehendaki."
الله اعلم

No comments: