Tersebut dalam "Fawaaidul Mukhtaarah li Saaliki Thoriiqil Aakhirah", himpunan Ustaz 'Ali bin Hasan BaHarun (anakanda almarhum Habib Hasan bin Ahmad BaHarun rahimahUllah) daripada pengajaran yang disampaikan oleh guru beliau, al-'Alim al-'Allaamah al-Faqih al-Habib Zain bin Ibrahim BinSumaith hafizahUllah, pada halaman 497 bahawa seseorang telah bertanya kepada al-Habib Abu Bakar bin 'Abdullah al-'Aththas rahimahUllah:
"Apakah yang akan diberi kepada orang yang menziarahi kubur seorang wali?" Habib Abu Bakar menjawab: " Dia akan diberi salah satu dari dua pemberian, yang pertama - setidak-tidaknya - dosa-dosanya diampuni Allah; Dan yang kedua - ini yang tertinggi - dia diberikan martabat wali yang diziarahinya."Allahu .. Allah.... ya terpulang samada mau percaya atau tidak, rahmat Allah itu amat luas. Cuma bila martabat diberikan insya-Allah harapannya kita mampu memikulnya, jika tidak terbenamlah gamaknya dek ditimba maqam. Pesanan orang bijak pandai, bila ziarah maqamnya awliya, mohonlah kepada Allah agar dianugerahkan iman, ilmu, taqwa, makrifat, akhlak dan seumpamanya yang telah Allah kurniakan kepada Shohibul Maqam. Jangan diminta akan maqamnya beliau kerana khuatir tidak tertanggung, ya kalau diberi ambil saja.